Jom Join Cikgu Shaza


Tajaan Bersama

Tuesday, March 15, 2011

Pendidikan Seks? Mengapa Tidak?

Apa sikap anda terhadap pendidikan seks? Apakah anda menganggapnya sebagai sesuatu yang lucah maka ia tidak perlu disebut langsung apatah lagi direncanakan? Atau anda merasakan ia sebagai satu keperluan apatah lagi dalam keadaan masyarakat hari ini?

Sebagai ibu atau bapa, adakah anda merasakan anak-anak anda, khususnya remaja, perlu diberi pendidikan seks? Jika perlu, siapakah agaknya yang patut memberikan pendidikan seks ini kepada generasi muda itu?

Seandainya ada cadangan supaya anak-anak kita diberi pendidikan seks di sekolah, apakah anda sebagai ibu atau bapa akan menjadi antara orang pertama yang membantah, atau orang pertama yang menyokong?

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pendidikan seks? Apakah ia akan mengajar remaja bagaimana melakukan seks? Pernahkah kita cuba memahami apa yang dimaksudkan dengan pendidikan seks? Atau bila terbaca atau terdengar sahaja perkataan "seks" itu, kita akan terus melatah dan dengan lantangnya berkata, "Tidak!"?

Hakikatnya, sama ada kita suka atau tidak, sebahagian kecil remaja kita telahpun secara sukarelanya, terjebak dengan "hubungan seks di luar nikah" - istilah yang lebih "manis" untuk digunakan walaupun hakikatnya adalah "zina"! Mereka terlibat mungkin didorong oleh sifat ingin tahu yang begitu sekata dengan usia remaja mereka atau mungkin juga kerana mereka tidak memikirkan tentang kesan akibat perbuatan tersebut baik dari segi kesihatan, undang-undang dan masa depan mereka.

Akibatnya, ada di antara remaja perempuan ini hamil di luar nikah. Bila ini berlaku, ada yang mengambil jalan keluar yang mudah dengan menggugurkan janin tersebut. Malah, ada juga yang meneruskan kehamilan tetapi membuang atau membunuh bayi mereka. Ada juga yang melahirkan lalu menyerahkan bayi tersebut kepada orang lain.

Selain itu, ada di antara mereka, baik lelaki mahupun perempuan, yang menghidapi penyakit kelamin, malah HIV/Aids akibat amalan mereka itu.

Tahukah anda bahawa kini, para doktor di hospital kerajaan, terpaksa berhadapan dengan kes-kes remaja hamil di luar nikah serta kes-kes remaja yang telah dijangkiti penyakit kelamin? Malah, kes-kes seumpama ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Ada di antara remaja itu yang meminta alat mencegah kehamilan supaya tingkahlaku seksualnya di masa hadapan tidak akan menyebabkannya hamil lagi.

Andaikan anda adalah doktor tersebut, apakah sikap anda? Apakah anda hanya sekadar menasihatkan mereka untuk bertaubat? Atau apakah anda akan memenuhi permintaan itu sedangkan anda tahu ia hanya akan membuatkan remaja itu terus berzina? Namun, untuk tidak membekalkannya juga belum tentu akan menghentikan kegiatan tidak berakhlak itu. Ini kerana kita tahu, tanpa alat mencegah hamil sekalipun, remaja itu akan terus berzina dan mungkin hamil lagi. Bagi remaja yang berpenyakit kelamin pula, tanpa mengambil langkah-langkah pencegahan, mereka akan menyebarkan penyakit itu kepada pasangan seks mereka.

Itu bagi yang terlibat dalam tingkahlaku seksual secara sukarela. Kita juga maklum bahawa sebilangan kecil kanak-kanak di Malaysia ini, menjadi mangsa rogol kepada mereka yang tidak bertanggungjawab hanya kerana kanak-kanak itu tidak faham apa yang diperlakukan kepada mereka. Malah, seringkali pemangsa-pemangsa itu menyakinkan mangsanya bahawa apa yang dilakukan kepada mereka adalah tanda kasih sayang. Akhirnya kanak-kanak itu menjadi mangsa seks ahli keluarganya sendiri sehinggalah mereka dewasa dan mula faham apa yang berlaku.

Abdullah Nasih Ulwan, dalam jilid kedua bukunya yang bertajuk Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, menyebut bahawa pendidikan seks merujuk kepada usaha mendidik anak secara berterus-terang, mengikut tahap-tahap perkembangan mereka, bermula sejak mereka berakal, mengenai perkara-perkara yang berkait rapat dengan seks. Ia merangkumi didikan mengenai; (i) adab meminta izin bila ingin masuk ke bilik ibu bapa; (ii) adab melihat, yakni apa yang boleh dilihat dan apa yang haram dilihat; (iii) mencegah anak dari pengaruh seks; (iv) hukum-hukum mengenai orang baligh; (v) faham Islami berkenaan perkahwinan dan perhubungan jantina; dan, (vi) apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan tingkahlaku seksual ini jika belum berkahwin. Malah, beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan seksual ini kepada anak-anak.

Setelah mengetahui apa itu pendidikan seks yang Islami, apakah sikap anda terhadap pendidikan seks? Masih menentangnya atau mengakui keperluannya? Siapa pula yang patut memberikan pendidikan seks ini? Jika itu adalah tanggungjawab ibu bapa, bersediakan anda? Jika para ibu bapa tidak bersedia, bukankah bagus jika sekolah boleh melaksanakannya? Malangnya, setelah cadangan ini diutarakan sejak lebih sedekad yang lalu, kita masih tidak dapat melaksanakannya hanya kerana ramai yang tidak faham maksud "pendidikan seks" itu, menentangnya.

Akibatnya, sebahagian remaja terus giat secara seksual tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu. Sesetengahnya pula terkena penyakit kelamin yang mungkin akan menyebarkan penyakit itu kepada pasangan seksnya yang lain. Manakala setengah yang lain akan hamil di luar nikah dan mungkin akan menggugurkan kandungannya atau membuang bayinya atau memberikan bayinya kepada orang lain untuk dijaga. Masyarakat pula akan kecoh seketika bila perangkaan-perangkaan mengenai perkara ini dikeluarkan. Kemudian, tanpa tindakan yang berkesan, semuanya akan senyap seperti sedia kala sehinggalah perangkaan baru dikeluarkan pada tahun berikutnya. Dan, putaran ganas itu berterusan.

Jika pendidikan seks boleh memperkasakan kanak-kanak dan remaja untuk mengelakkan diri mereka dari terjebak dalam zina atau menjadi mangsa rogol, apa lagi yang kita tunggu??
Read more >>

Monday, March 14, 2011

Apakah Yang Anda Lakukan Untuk Sekolah Anak Anda?

Ketika Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa sering bertanya mengenai apakah yang telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak mereka. Namun, pernahkah para ibu bapa bertanya apa pula sumbangan kita kepada sekolah anak-anak kita itu?

Dua bulan lalu, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan agar kita mencontohi masyarakat Cina dalam memberi sumbangan kepada sekolah demi kemajuan pendidikan anak-anak. Cadangan ini amat wajar memandangkan sikap sesetengah ibu bapa yang begitu berkira untuk mengeluarkan wang demi pendidikan anak-anak, sehinggakan untuk mengutip yuran sekolah setahun sekali itupun kerajan perlu melakukannya dengan begitu berdiplomasi sekali.

Pada kesempatan tertentu seperti Hari Terbuka sekolah atau Hari Sukan atau ketika mesyuarat agung PIBG, pernahkah kita melihat-lihat persekitaran sekolah anak-anak kita untuk mengenalpasti kekurangan-kekurangan yang ada dan membaikinya? Pernahkah kita terfikir untuk menderma secara sukarela kepada tabung PIBG agar aktiviti bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan anak-anak kita? Pernahkah kita terfikir untuk mewakafkan sesuatu untuk kegunaan semua murid di situ? Atau kita hanya mempersoalkan sumbangan sekolah kepada anak-anak kita semata-mata?

Dalam salah satu Mesyuarat Jawatankuasa PIBG di sekolah anak penulis, dilaporkan bahawa seorang bapa telah bermurah hati untuk mendermakan sembilan (9) daun pintu tandas setelah mendapati sembilan (9) tandas murid yang ada di sekolah itu tidak berpintu. Ada juga hikmahnya bapa murid ini menemani anaknya ke tandas ketika hadir ke Mesyuarat Agung PIBG tempoh hari. Mengapa tandas-tandas itu dibiarkan tidak berpintu sedangkan ia melibatkan isu aurat dan "privacy" ketika ke tandas - agak sukar difahami oleh penulis. Menurut pihak sekolah, mereka telah melaporkan perkara itu ke Pejabat Pelajaran. Namun, tiada tindakan diambil sehinggalah pintu-pintu tandas itu didermakan oleh si bapa tadi dan dipasangkan oleh bapa murid yang lain.

Kemurahan hati kedua orang bapa tadi ternyata memberi sumbangan yang besar kepada sekolah dan memberikan keselesaan kepada semua murid di sekolah tersebut. Bayangkan jika semua ibu bapa murid di sekolah ini bersikap pemurah dan ringan tangan seperti kedua orang bapa tadi. Lagi macam-macam kemudahan akan dapat disediakan dan para pelajarnya akan mendapat manfaat yang begitu besar sekali.


Secara umumnya, umat Islam faham bahawa agama Islam mengagungkan ilmu. Menuntut ilmu menjadi kewajipan setiap umat Islam. Menuntut ilmu itu amat digalakkan sehingga dalam sebuah hadis disebut bahawa Allah akan memudahkan satu jalan untuk ke syurga bagi mereka yang keluar untuk menuntut ilmu. Sikap mengutamakan ilmu oleh Islam ini juga jelas apabila ia meletakkan golongan yang berilmu pada satu kedudukan yang tinggi (Surah al-Mujadalah: 11).

Ganjaran dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah ini bukanlah untuk mereka yang menuntut ilmu dan yang memiliki ilmu sahaja, tetapi juga kepada mereka yang membelanjakan hartanya untuk ilmu, perkembangan ilmu serta bagi tujuan orang lain mendapatkan ilmu. Ini kerana apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan atas nama ilmu yang bermanfaat, ia dianggap sebagai perbelanjaan ke jalan Allah. Maka, mengapa kita begitu sukar untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak?

Sebenarnya, ada banyak cara untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak kita. Bagi yang berduit, mereka boleh menderma. Namun, pada pandangan penulis, kita tidak perlu tunggu kaya sebelum kita boleh menyumbang dalam bentuk wang. Apa yang lebih penting ialah kemahuan.

Kalau dalam sebuah sekolah itu setiap ibu atau bapa boleh dermakan RM1 sebulan untuk setiap anak, sebuah sekolah yang memiliki 250 orang murid akan mempunyai dana tambahan sebanyak RM250 setiap bulan. Ia bersamaan RM3000 dana tambahan setahun. Macam-macam yang boleh dibuat oleh sekolah dengan duit sebanyak ini untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak kita.

Mereka yang ada ilmu dan kemahiran tentang sesuatu pula, boleh berkongsi ilmu dan kemahiran itu dengan para pelajar melalui kelas-kelas tambahan atau aktiviti tertentu. Sebagai contoh, di kaca TV kita selalu menonton watak bapa yang menjadi jurulatih kepada pasukan bolasepak anaknya. Banyak lagi ruang lain yang boleh digunakan untuk memberikan sesuatu ilmu atau kemahiran kepada murid-murid di sekolah anak-anak kita.

Peluang ini juga merupakan satu lagi saluran untuk kita merebut ganjaran dari Allah. Seperti yang kita maklum, semua amalan kita akan terhenti bila kita meninggal dunia, kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan. Maka, seandainya kita secara sukarela memberi sesuatu ilmu dan kemahiran kepada murid-murid di sekolah tersebut dan mereka pula menggunakannya sepanjang hidup mereka, maka selama itulah amalan kita tidak akan terputus.



Cara lain untuk menyumbang ialah dengan memberikan sesuatu perkhidmatan. Misalnya, seperti si bapa yang memasangkan daun pintu tadi. Beliau mungkin tiada wang untuk didermakan, tetapi beliau ada kemahiran untuk disumbangkan. Ibu bapa yang ada kemahiran seperti ini boleh menawarkan diri kepada pihak sekolah dan bila ada paip pecah atau tersumbat dan sebagainya, pihak sekolah boleh menggunakan khidmat mereka untuk membaiki kerosakan-kerosakan seumpama itu dan mengembalikan keselesaan kepada semua pengguna di sekolah itu, khususnya para pelajar.

Marilah kita mengubah sikap kita terhadap pihak sekolah. Daripada semata-mata mengharapkan sekolah melakukan keajaiban kepada anak-anak kita, apa kata kita bantu mereka untuk melakukan keajaiban itu? Kita boleh bantu dengan wang, dengan ilmu dan kemahiran, juga dengan sesuatu perkhidmatan. Dalam kes pintu tandas tadi, jika wujud kemurahan hati dan keringanan tulang di pihak ibu bapa, berserta koordinasi yang baik dari pihak sekolah, penulis yakin masalah itu akan dapat diatasi lebih awal lagi.
Read more >>

Binalah Akhlak, Kerjaya dan Keberkatan Hidup anak muridmu dengan seimbang

Islam adalah satu sistem hidup yang meliputi segala aspek dan bidang yang berasaskan kepada prinsip-prinsip dan dasar-dasar yang telah ditentukan oleh Allah menerusi RasulNya. Sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh, maka sudah pasti ia mempunyai disiplin, peraturan dan undang-undang untuk mengawal perjalanan sistem tadi supaya berfungsi dengan baik dan sempurna. Semuanya ini merupakan tali ikatan yang menjalin hubungan yang padu antara anggota masyarakat, sama ada manusia dengan Penciptanya, sesama manusia mau pun manusia dengan alam sekitarnya. Dengan lain perkataan, ia merupakan tali kemasyarakatan yang mengawal dan mengatur gerak laku perbuatan dalam pelbagai kegiatan hidup manusia, supaya segala aktiviti tersebut berlaku ke arah yang membawa kepada kebaikan dan kesempurnaan.

Salah satu aspek yang sangat diberi perhatian oleh Islam bagi memastikan supaya perjalanan sistem hidup manusia dapat berlangsung dalam suasana yang sihat dan harmoni ialah kesempurnaan akhlak. Ini adalah kerana akhlak yang baik dan mulia sahaja dapat menjamin kesejahteraan dan kejayaan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran ini.

Secara umumnya akhlak boleh dipecahkan kepada dua pembahagian. Pertama, akhlak Islam, dan yang kedua ialah akhlak falsafah atau lebih dikenali sebagai etika. Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumberkan Wahyu (Quran dan Sunnah), bersifat kudus, mutlak, rabbani dan tetap sepanjang zaman. Sementara akhlak falsafah pula berdasarkan kepada kemampuan pemikiran manusia, yang pastinya tidak kudus, berubah-ubah mengikut zaman dan kepentingan, dan suatu yang tidak mutlak. Oleh yang demikian apabila kita membincangkan mengenai akhlak dan etika yang menjadi asas kepada kejayaan sesuatu kerjaya, maka seringkali dua bahagian akhlak ini sama ada didapati seiring ataupun bertentangan.

Dengan itu, apabila membicarakan antara kerjaya dan akhlak yang dilihat dari perspektif Islam, maka beberapa perkara berikut perlu di ambil kira, iaitu; kesesuaian code of ethics yang berkaitan dengan kerjaya, masalah-masalah yang akan timbul yang berkaitan dengan kejayaan dan kegagalan sesuatu kerjaya, adakah amalan sesuatu kerjaya itu menurut tuntutan akhlak, dan sampai di manakah kebenaran sesuatu kerjaya berkenaan dari penilaian akhlak.

Dari perspektif akhlak, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah tidak membawa bencana atau kerosakan, samada terhadap diri sendiri, masyarakat ataupun alam sekitar. Pekerjaan tersebut hendaklah selaras dengan tujuan akhlak Islam, iaitu untuk melindungi lima kepentingan asas, iaitu; agama, akal, nyawa, maruah dan harta. Di samping itu juga, kerjaya tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan larangan agama seperti menjadi pengedar arak atau dadah, pengurus perjudian, pemakan riba, penglibatan dalam kegiatan pelacuran, menguruskan perniagaan yang diharamkan agama dan sebagainya.


Pada umumnya, kerjaya yang dibenarkan oleh Islam juga harus benar dan sah dari segi perlaksanaannya. Atau dengan lain perkataan, walaupun pekerjaan itu mungkin benar dan sah pada hakikatnya, tetapi jika dilaksanakan dengan cara yang tidak diizinkan oleh Islam, maka ia tetap haram dan ditegah. Sebagai contoh jelas dalam kehidupan hari ini ialah berleluasanya amalan rasuah. Walaupun pada asasnya sesuatu pekerjaan itu sah dari segi syarak tetapi apabila wujudnya unsur-unsur rasuah maka ianya tetap haram di sisi Islam.

Kerjaya yang selaras dengan syara' apabila dilaksanakan sesuai dengan kaedah-kaedah Islam, iaitu sesuai dengan Al Quran, Hadis, Qias dan Ijma', maka ia dianggap sebagai ibadah umum, dan perlaksanaannya akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Sebaliknya pula, kerjaya yang dianggap tidak syarie dan bercanggah dengan Islam dianggap tidak mempunyai nilai-nilai akhlak dan pelaksanaannya adalah sia-sia.

Daripada pengalaman yang dilalui dan perkembangan kerjaya itu sendiri menunjukkan bahawa ‘etika kerjaya' adalah sesuatu yang perlu diadakan untuk menghadapi gejala keruntuhan akhlak seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan berbagai masalah yang mungkin timbul dalam amalan kerjaya tertentu. Usaha untuk mewujudkan etika ini sudah pasti menambahkan kewibawaan kerjaya berkenaan.

Sungguhpun begitu kod etika ini sebenarnya diasaskan kepada pertimbangan akal semata-mata yang tidak semestinya sesuai dengan nilai akhlak Islam. Oleh itu akan timbul pertembungan antara kod etika buatan manusia dengan nilai akhlak Islam ciptaan Allah s.w.t. Keadaan ini sudah pasti akan menyulitkan pada kebanyakan orang dan menyebabkan terhakisnya kecenderungan orang ramai untuk mematuhi kod etika yang telah disediakan.

Oleh itu, apa yang penting ialah, code of ethics bagi mana-mana kerjaya hendaklah berasaskan kepada konsep bekerja menurut Islam iaitu yang selaras dengan tuntutan syara' dan akhlak Islam, sama ada terhadap individu, masyarakat, majikan dan juga teman sekerja.

Oleh hal yang demikian perspektif Islam terhadap akhlak adalah sangat jauh berbeza dengan falsafah etika yang dicipta oleh manusia. Ini adalah kerana Islam melihat akhlak bukan hanya sekadar pada tingkah laku luaran sahaja tetapi ianya juga harus berakar umbi di hati nurani. Kesedaran dalam melakukan amalan-amalan yang baik tidak berlaku sekali-sekala sahaja tetapi hendaklah menjadi darah daging dan amalan setiap masa. Dalam Islam, akhlak diperkukuhkan dengan peneguhan keimanan kepada Allah s.w.t. serta iltizam yang tinggi terhadap undang-undang agama, di samping menanamkan nilai tauhid yang mendalam dan akhlak yang mulia.

Pendek kata, setiap ciri dan sifat yang membantu seseorang berjaya dalam kerjayanya samada dari pertimbangan syara' atau akal hendaklah dikembangkan sehingga ianya dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan.
Sungguhpun begitu, suasana masyarakat yang kita miliki tidak sedemikian sifatnya. Apa yang kita lihat dan dengar setiap hari ialah penipuan, penyelewengan, pecah amanah, rasuah dan seribu macam keruntuhan akhlak yang meningkat pada kadar yang membimbangkan. Masyarakat terus menerus menanggung kerugian akibat daripada salah laku golongan-golongan professional yang tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya, kerjaya yang baik menuntut kepada persekitaran kerja yang juga baik. Persekitaran yang bersih ini memerlukan kepada manusia yang berakhlak dan dididik dengan nilai-nilai akhlak Islam yang murni. Ia juga menuntut pengurusan yang menjauhkan diri dari maksiat sama ada di dalam ataupun di luar pejabat. Dengan adanya penghayatan nilai akhlak yang merata dalam masyarakat di setiap peringkat, maka barulah masalah kecurangan dalam kerjaya dapat dikurangkan.

Inilah sebenarnya tujuan utama Islam membangunkan akhlak mulia di dalam masyarakat yang dapat disimpulkan dalam istilah al falah, iaitu kebahagiaan atau kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Islam membangunkan seluruh potensi fitrah manusia secara berpadu dan berimbangan. Maka dengan kepaduan dan keseimbangan itu diharapkan terbentuklah individu dan masyarakat yang sentiasa menyedari dirinya sebagai hamba dan khalifah Allah yang dapat bertindak secara serentak dalam hal keimanan kepada Allah dan beramal dengan akhlak mulia dalam kerjayanya demi untuk faedah semua makhluk. Dengan kesedaran dan tindakan inilah yang akan membawa manusia ke tahap al hasanah fid dunya dan al hasanah fil akhirah yang menjadi tujuan utama Islam membangunkan ummah. Manusia yang sentiasa beramal dengan akhlak Islam yang sebegini dalam setiap kerjaya yang diceburinya adalah sebenarnya manusia yang insaf tentang kedudukannya sebagai khalifah dan hamba Allah di mukabumi ini. Iaitu manusia insaf yang bertindak atas dasar kebenaran, kebaikan dan kejujuran, baik yang terkandung dalam akidahnya, ibadahnya, syariatnya dan sistem akhlaknya.



Manusia yang ampuh akhlaknya juga akan tegak sebagai benteng yang teguh terhadap sebarang pengaruh yang boleh merosakan diri dan masyarakatnya, dan pada masa yang sama juga berupaya untuk melahirkan ketenteraman di dalam jiwanya dan juga jiwa masyarakatnya. Dari sini akan lahirlah masyarakat yang harmonis dan dinamik dan tahu menentukan hala tuju diri dan masyarakat serta seterusnya meletakkan arus pembangunan negara pada landasan yang betul. Sesungguhnya ini semua hanya akan dapat dibangunkan apabila setiap individu bersungguh-sungguh beramal dengan akhlak Islam dan yakin hanya Islam sahaja yang mampu melahirkan manusia yang cekap dan mahir serta pada masa yang sama mantap pegangan akidahnya, baik amalan syariatnya dan sempurna pula tingkah laku akhlaknya.

Bagi mencapai cita-cita murni ini, maka setiap ciri dan nilai yang dapat membentuk akhlak yang mulia di dalam jiwa dan minda seseorang itu hendaklah dipupuk dan ditanam supaya ia menjadi amalan sama ada di dalam masyarakat mahupun di tempat bekerja. Semoga dengan ini usaha untuk melihat golongan profesional dan masyarakat yang berakhlak yang bebas daripada gejala keruntuhan moral dapat dicapai, dan seterusnya membentuk sebuah negara yang progresif dan dinamik.
Read more >>

Kesihatan Mental Murid Sekolah

Kita semua telah melangkah masuk ke tahun baru 2011 dengan menyaksikan bermulanya sesi baru persekolahan. Nampak jelas kesibukan di kalangan anak-anak ini dengan melakukan pelbagai persediaan yang amat rapi, namun semua kelihatan gembira dan ceria sekali. Begitu juga, walaupun terhimpit dengan pelbagai urusan kerja, ramai ibubapa yang mengambil cuti bagi menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak mereka. Bagi anak-anak yang memasuki sekolah tadika atau pra sekolah, pengalaman pertama suasana alam persekolahan memberi banyak persoalan dan jawapan tersendiri kepada mereka ini. Begitu juga, bagi para ibubapa yang mempunyai anak pertama memasuki alam persekolahan, pengalaman ini merupakan satu peristiwa yang amat menakjub dan menggembirakan. Hakikatnya, anak-anak tidak mahu ketinggalan dalam mengharungi warna-warna indah dan detik-detik manis alam persekolahan. Betapa kudus dan murninya tanggapan dan impian anak-anak ini kepada sekolah.

Sememangnya alam persekolahan menjadi asas kepada sesiapa sahaja yang ingin meniti kehidupan sebagai golongan orang-orang yang cerdik dan terpelajar. Dalam Islam, menuntut ilmu adalah menjadi satu kewajipan. Ia mesti dilakukan oleh setiap individu muslim bagi meningkatkan keupayaan fungsi akal dan daya pemikiran mereka. Islam mengiktiraf keupayaan individu muslim untuk menuntut ilmu dan menjadi golongan terpelajar bukan bermula dari alam persekolahan dan terhenti selepas menerima segulung ijazah semata-mata, malah ia bermula sejak dari alam kandungan lagi sehinggalah ke liang lahad. Proses pembelajaran itu berlaku sepanjang masa dalam kehidupan setiap individu muslim.


Jika ditinjau, suasana pembelajaran masa kini menyaksikan sistem pendidikan dan pembelajaran bersifat lebih formal lagi. Ia lebih banyak berlaku di sekolah, kolej atau universiti dan perlu mendapatkan kelulusan serta pengiktirafan dari pihak kerajaan. Dalam keadaan sekarang, masyarakat melihat kewibawaan sesuatu institusi pendidikan itu adalah ditentukan oleh tahap pencapaian kelulusan akademik mereka, di samping jaminan terhadap kualiti tinggi kelulusan mana-mana institusi pendidikan terbabit. Pendek kata, matlamat utama atau kemuncak kepada sistem pendidikan kini ialah jaminan terhadap pencapaian kelulusan yang tinggi dan cemerlang yang dikatakan mampu memberi jaminan pekerjaan yang terbaik kepada graduannya.

Berdasarkan kepada senario ini, tidak hairanlah terdapat banyak institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti yang mengambil peluang dan kesempatan serta berlumba-lumba dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik, berkualiti tinggi dan mengakui mampu menjamin masa depan yang cemerlang. Ini sebenarnya satu perkara yang baik dan boleh mewujudkan persaingan secara sihat dalam sektor pendidikan. Namun pada masa yang sama, hakikat yang perlu diterima ialah ia menggesa masyarakat untuk menyediakan sejumlah besar peruntukan bagi mencapai tujuan ini. Di kalangan institusi pendidikan ini, rata-rata menawarkan harga atau yuran yang sememangnya mahal bagi kebanyakan orang. Namun, harga yang terlalu tinggi ini tidak mendatangkan masalah besar bagi golongan yang mampu demi masa depan anak-anak mereka. Apalah sangat yang ada pada harga jika dibandingkan dengan pencapaian akademik yang cemerlang dan terbaik kelak.


Sememangnya keghairahan para ibubapa untuk mendapatkan sekolah-sekolah yang terbaik atau berprestij bagi anak-anak mereka perlu dilihat dari sudut yang positif. Memang tiada salahnya kerana mereka mampu. Manakala bagi yang kurang mampu, mereka masih ada pilihan lain. Namun kemampuan ibubapa dalam memilih mana-mana sekolah bagi pembelajaran anak-anak mereka tidak wajar terhad kepada aspek akademik semata-mata. Ibubapa perlu juga berkeupayaan dan mampu untuk menilai sejauh mana sekolah terbabit berwibawa dalam menyediakan kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang baik, selamat dan sihat, khususnya dalam memelihara baik tahap penjagaan kesihatan mental, bukan sahaja kepada para pelajarnya, tetapi juga kepada para pendidik dan kakitangan sekolah terbabit. Atau paling tidakpun, pastikan sekolah terbabit bukan sekolah yang berisiko menjejaskan kesihatan mental anak-anak kita kelak. Jika situasi ini tidak wujud dalam budaya masyarakat negara ini, bermakna mereka masih memandang rendah terhadap penjagaan kesihatan mental yang baik dan tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimana pemuliharaan kesihatan mental yang baik murid sekolah dapat dijana dalam konteks persekitaran sekolah? Pertama ialah dengan mewujudkan perhubungan sosial yang baik dan disulami kasih sayang tanpa syarat oleh semua warga sekolah termasuklah para guru bagi menghasilkan interaktif sosial yang positif sesama mereka. Perhubungan sosial yang baik dan positif akan merangsang persekitaran sekolah yang sihat dan selamat di samping mampu mengelakkan gejala buli, samseng, vandalisma serta pelbagai gejala salahlaku yang lain. Seterusnya, persekitaran sekolah yang selamat akan meningkatkan rasa keyakinan dan harga diri yang baik di kalangan pelajar yang sudah pasti membawa kebaikan kepada kesejahteraan dan kestabilan mental serta sosial mereka.

Keduanya, pihak sekolah perlu menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana pembelajaran yang mencukupi serta lengkap, selamat dan mesra kepada para pelajar. Pendidikan yang sempurna adalah asas kepada kesihatan mental yang baik. Seterusnya, suasana pembelajaran di sekolah perlulah membina, menyeronokkan dan bukannya menggerunkan. Ketiga, kanak-kanak wajar diajar cara untuk bersaing secara sihat dan membina. Aktiviti di sekolah pastinya tidak lari dari persaingan. Persaingan yang berlaku itu seharusnya bukan semata-mata tertumpu untuk mencari siapa yang bakal memperolehi keputusan terbaik, tetapi lebih kepada mengiktiraf mereka yang cemerlang dan dapat menyempurnakan aktiviti persaingan dengan cara yang sihat, bersungguh-sungguh dan bantu-membantu untuk mencapai matlamat secara bersama. Mereka juga perlu dilatih untuk tidak takut menghadapi kegagalan dan kegagalan itu perlu dilihat dari sudut yang positif, bukan sesuatu yang hina atau memalukan. Namun, pada masa yang sama, usaha memperbaiki keadaan dan kesungguhan mencipta kecemerlangan dari pelbagai sudut kehidupan perlu sentiasa dipupuk di kalangan mereka.
Read more >>

Doakan guru tanda kasih sayang, mari saling mendoakan


Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta


TARIKH 16 Mei tiap tahun penting dan cukup bermakna kepada negara. Hari yang diraikan khusus untuk mengingati segala budi dan jasa guru dalam menggerakkan masyarakat ke arah pembinaan bangsa dan negara. Merujuk istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris. Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata pelajaran.

Pemimpin negara hari ini sememangnya pernah menjadi murid yang menerima tunjuk ajar serta didikan seorang guru. Begitu juga dengan agamawan, ahli korporat, golongan profesional dan pelbagai peringkat masyarakat pernah menerima khidmat sekumpulan guru yang dipertanggungjawabkan menyampaikan ilmu.

Ilmu yang diterima itu berperanan meneropong kehidupan masa depan mereka. Rasulullah bersabda maksudnya: “Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat Abu Daud dan At -Tirmizi).

Sepatutnya, sebagai warga yang rasional dan waras, kita sentiasa dalam apa jua keadaan perlu mengenang kembali erti pengorbanan guru yang pernah mendidik dan membantu membina sahsiah. Mereka yang mengajar sehingga kita berupaya membaca dan menulis serta kelangsungan membuka minda, membajai daya dan menyusur keupayaan akal kita.

Akhirnya menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini. Oleh itu tarikh keramat ini tidak wajar dilupakan sesiapa sama ada seorang pemimpin yang berkuasa atau pun hanya seorang rakyat jelata.

Allah berfirman maksudnya: “Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Majadalah: 1)
Guru sebenarnya melaksanakan tanggungjawab amat besar dalam menyampaikan risalah ilmu kepada manusia keseluruhan. Peranan mereka mengeluarkan masyarakat yang rendah minda dan pengetahuan kepada masyarakat yang berilmu, kreatif dan berinovasi sewajar dihormati serta mendapat penghargaan tinggi dari negara.

Sebagai murid yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan keilmuan yang mereka miliki. Segala pangkat dan kedudukan kita hendaklah dibatasi adat dan nilai yang dituntut agama.

Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya.”

Betapa Saidina Ali seorang yang terkenal dengan alim dan berilmu itu memberi penghormatan dan menganggap orang yang hanya mengajar satu huruf adalah guru dan baginda rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada guru itu. Sewajarnya kita yang memang cetek dan serba kekurangan dalam bidang ilmu pengetahuan serta banyak menerima pengajaran akan lebih memberi sanjungan, penghargaan dan kemuliaan setinggi-tingginya terhadap mereka yang banyak berjasa itu
Imam Ahmad ibn Hambal pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar: “Aku tidak akan duduk kecuali di sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru kita.”

Rasulullah bersabda bermaksud: “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat Abu Hurairah)
Guru adalah sebagai model terhadap orang di bawah pimpinan. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal.

Guru membina sahsiah dan membentuk nilai manusia melalui penjanaan modal insan. Oleh itu, kita sendiri tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru kita. Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dulu dia adalah guru kita, mungkin sekarang dia adalah guru kepada keturunan kita. Tidak ada satu anugerah walau sebesar manapun dapat membalas jasa guru, hatta dibayar dengan segunung harta mahupun sejumlah wang ringgit membalas setiap ilmu yang diterima.

Seiring kemajuan dan pembangunan zaman, derap langkah guru mengembangkan amanah negara dalam mempertahankan nilai budaya menjadi tugas yang semakin utama serta amat mencabar. Tugas ini bukan mudah untuk disempurnakan melainkan dilakukan dengan cekal dan sabar terutama dalam melayani kerenah murid yang mempamerkan pelbagai watak yang amat berbeza dari semasa ke semasa.

Dari generasi ke generasi selepas merdeka, didapati berlaku kesinambungan tugas dan tanggungjawab yang dipikul generasi guru tanpa bantahan dan kerenah yang boleh menghalang matlamat pendidikan. Ertinya mereka melakukan tugas dengan penuh amanah dan integriti.

Kita mesti mengingatkan diri supaya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Jangan sekali-kali akibat kemewahan pembangunan negara yang dikecapi ini, kita dengan mudah memadamkan jasa guru kepada kedudukan kita kini.

Jangan sesekali kita lupa bahawa guru yang meletakkan asas pendidikan yang ulung di negara ini sehingga warganya mampu menggerakkan landasan pembangunan negara kini. Namun tanpa kita sedari, sebahagian daripada mereka telah meninggalkan kita. Meninggalkan jasa dan nama yang sukar dipadamkan.

Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan atas usaha guru yang telah meninggalkan kita. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali pun kita berusaha.

Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka.

Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi meninggalkan kita.


Artkikel dipetik dari Dewan Amal Islam oleh Ustaz Amran
Semoga kita mengenagi guru dan selalu mendoakan mereka..
Read more >>

Thursday, March 10, 2011

Guru perlu ikut cara Rasulullah laksana tanggungjawab mendidik

SEORANG bergelar guru amat dipandang tinggi, malah panggilan 'cikgu' tidak akan lekang di bibir setiap murid yang pernah mewarisi ilmu daripadanya. Hatta, bekas guru yang bertukar profesion pun tetap dipanggil cikgu.

Tidak dinafikan peranan guru amat besar dalam masyarakat. Tanya setiap orang yang berjaya dalam hidupnya, tiada yang cemerlang tanpa didikan seorang guru.

Betapa berpengaruhnya seorang yang bergelar guru, penulis masih ingat sehingga hari ini setiap guru yang pernah mengajar sejak di tadika sehingga sekolah menengah. Cuma masih belum ada kelapangan untuk menziarahi mereka.


Masih terkenang beberapa guru yang sudah meninggal dunia, walaupun sudah tiada, suara mereka masih berulang-ulang memberi ilmu dan nasihat. Sebab itulah ada kala terlupa yang mereka sudah berhijrah ke alam baka. Yang mampu dikirim hanyalah ingatan dan doa.

Hari ini, peranan guru tetap sama. Mereka menyampaikan ilmu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga membimbing akhlak pelajar supaya seiring dengan kebolehan akademik yang menjadi objektif hakiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Cuma, ada segelintir guru yang cuba mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu bapa yang meminta mendidik anak mereka menjadi orang bijak dan terhormat. Laporan murid dicabul, diliwat dan diperkosa oleh guru menyentak banyak hati.

Ada juga guru menjadi pembekal rokok dan dadah kepada pelajar, seperti pernah tersiar di akhbar sedikit masa dulu. Siapa tidak terkilan jika mengetahui guru yang sepatutnya menunjukkan peribadi terbaik terhadap pelajar mencuri peluang melampiaskan nafsu kepada murid cilik.

Sedangkan setiap guru adalah orang yang sedia berilmu dan mereka yang berilmu adalah pewaris para anbiya’. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang berilmu (ulama) itu adalah pewaris nabi-nabi.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)


Sebagai pendidik, guru wajib mempunyai pekerti mulia yang bukan saja menjamin kecemerlangan pendidikan, juga sebagai modal mentarbiahkan insan. Tiada siapa mahu mendengar kata orang yang alpa, taat kepada pelaku maksiat, apatah lagi menadah ilmu daripada seseorang tidak berakhlak.

Kualiti seorang guru sangat penting dalam membina sahsiah pelajar, sebab itu mereka harus ikhlas, berdedikasi, jujur dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul, seperti mana Rasulullah SAW sebagai guru setiap umat Islam kerana Baginda mencukupi ciri contoh ikutan yang baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

Sebagai penggerak utama yang menyumbang kepada kemajuan sesuatu bangsa melalui pendidikan rasmi, guru perlu menjaga nama baik profesion mulia ini. Sikap sebahagian kecil guru menggunakan peluang bersama pelajar untuk berbuat sesuatu tidak baik amatlah dikesali.

Guru harus memaksimumkan ruang yang ada bersama generasi pelapis negara untuk memastikan anak harapan negara dan agama terdidik sempurna dengan ilmu pendidikan formal, juga adab dan nilai murni.

Jangan pula guru yang menjadi orang harapan ibu bapa membantu membina sahsiah anak menjadi ‘pagar yang makan padi’. Bayangkan apa akan berlaku jika guru menjadi ancaman kepada pelajar.

Dengan perubahan masa, profesion guru ada kala bukan pilihan utama, tetapi terpaksa memikulnya kerana tidak berpeluang meneroka kerjaya lain. Kerana itulah bukan semua guru ikhlas menggalas tanggungjawab mendidik.

Walaupun pelbagai kejadian buruk berlaku akibat salah laku guru terhadap pelajar adalah kes terpencil, ia tidak bermakna perkara ini harus dipandang enteng. Ia juga tidak bermakna senario ini akan berakhir dan hilang dengan sendirinya.

Kesedaran perlu dipupuk melalui tarbiah mental dan rohani supaya setiap yang bergelar guru tahu menggalas tanggungjawab sebagai model insan yang meneraju pusat penyebaran ilmu dan amal, tidak seperti kerjaya lain.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
Read more >>