Jom Join Cikgu Shaza


Tajaan Bersama

Tuesday, March 15, 2011

Pendidikan Seks? Mengapa Tidak?

Apa sikap anda terhadap pendidikan seks? Apakah anda menganggapnya sebagai sesuatu yang lucah maka ia tidak perlu disebut langsung apatah lagi direncanakan? Atau anda merasakan ia sebagai satu keperluan apatah lagi dalam keadaan masyarakat hari ini?

Sebagai ibu atau bapa, adakah anda merasakan anak-anak anda, khususnya remaja, perlu diberi pendidikan seks? Jika perlu, siapakah agaknya yang patut memberikan pendidikan seks ini kepada generasi muda itu?

Seandainya ada cadangan supaya anak-anak kita diberi pendidikan seks di sekolah, apakah anda sebagai ibu atau bapa akan menjadi antara orang pertama yang membantah, atau orang pertama yang menyokong?

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pendidikan seks? Apakah ia akan mengajar remaja bagaimana melakukan seks? Pernahkah kita cuba memahami apa yang dimaksudkan dengan pendidikan seks? Atau bila terbaca atau terdengar sahaja perkataan "seks" itu, kita akan terus melatah dan dengan lantangnya berkata, "Tidak!"?

Hakikatnya, sama ada kita suka atau tidak, sebahagian kecil remaja kita telahpun secara sukarelanya, terjebak dengan "hubungan seks di luar nikah" - istilah yang lebih "manis" untuk digunakan walaupun hakikatnya adalah "zina"! Mereka terlibat mungkin didorong oleh sifat ingin tahu yang begitu sekata dengan usia remaja mereka atau mungkin juga kerana mereka tidak memikirkan tentang kesan akibat perbuatan tersebut baik dari segi kesihatan, undang-undang dan masa depan mereka.

Akibatnya, ada di antara remaja perempuan ini hamil di luar nikah. Bila ini berlaku, ada yang mengambil jalan keluar yang mudah dengan menggugurkan janin tersebut. Malah, ada juga yang meneruskan kehamilan tetapi membuang atau membunuh bayi mereka. Ada juga yang melahirkan lalu menyerahkan bayi tersebut kepada orang lain.

Selain itu, ada di antara mereka, baik lelaki mahupun perempuan, yang menghidapi penyakit kelamin, malah HIV/Aids akibat amalan mereka itu.

Tahukah anda bahawa kini, para doktor di hospital kerajaan, terpaksa berhadapan dengan kes-kes remaja hamil di luar nikah serta kes-kes remaja yang telah dijangkiti penyakit kelamin? Malah, kes-kes seumpama ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Ada di antara remaja itu yang meminta alat mencegah kehamilan supaya tingkahlaku seksualnya di masa hadapan tidak akan menyebabkannya hamil lagi.

Andaikan anda adalah doktor tersebut, apakah sikap anda? Apakah anda hanya sekadar menasihatkan mereka untuk bertaubat? Atau apakah anda akan memenuhi permintaan itu sedangkan anda tahu ia hanya akan membuatkan remaja itu terus berzina? Namun, untuk tidak membekalkannya juga belum tentu akan menghentikan kegiatan tidak berakhlak itu. Ini kerana kita tahu, tanpa alat mencegah hamil sekalipun, remaja itu akan terus berzina dan mungkin hamil lagi. Bagi remaja yang berpenyakit kelamin pula, tanpa mengambil langkah-langkah pencegahan, mereka akan menyebarkan penyakit itu kepada pasangan seks mereka.

Itu bagi yang terlibat dalam tingkahlaku seksual secara sukarela. Kita juga maklum bahawa sebilangan kecil kanak-kanak di Malaysia ini, menjadi mangsa rogol kepada mereka yang tidak bertanggungjawab hanya kerana kanak-kanak itu tidak faham apa yang diperlakukan kepada mereka. Malah, seringkali pemangsa-pemangsa itu menyakinkan mangsanya bahawa apa yang dilakukan kepada mereka adalah tanda kasih sayang. Akhirnya kanak-kanak itu menjadi mangsa seks ahli keluarganya sendiri sehinggalah mereka dewasa dan mula faham apa yang berlaku.

Abdullah Nasih Ulwan, dalam jilid kedua bukunya yang bertajuk Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, menyebut bahawa pendidikan seks merujuk kepada usaha mendidik anak secara berterus-terang, mengikut tahap-tahap perkembangan mereka, bermula sejak mereka berakal, mengenai perkara-perkara yang berkait rapat dengan seks. Ia merangkumi didikan mengenai; (i) adab meminta izin bila ingin masuk ke bilik ibu bapa; (ii) adab melihat, yakni apa yang boleh dilihat dan apa yang haram dilihat; (iii) mencegah anak dari pengaruh seks; (iv) hukum-hukum mengenai orang baligh; (v) faham Islami berkenaan perkahwinan dan perhubungan jantina; dan, (vi) apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan tingkahlaku seksual ini jika belum berkahwin. Malah, beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan seksual ini kepada anak-anak.

Setelah mengetahui apa itu pendidikan seks yang Islami, apakah sikap anda terhadap pendidikan seks? Masih menentangnya atau mengakui keperluannya? Siapa pula yang patut memberikan pendidikan seks ini? Jika itu adalah tanggungjawab ibu bapa, bersediakan anda? Jika para ibu bapa tidak bersedia, bukankah bagus jika sekolah boleh melaksanakannya? Malangnya, setelah cadangan ini diutarakan sejak lebih sedekad yang lalu, kita masih tidak dapat melaksanakannya hanya kerana ramai yang tidak faham maksud "pendidikan seks" itu, menentangnya.

Akibatnya, sebahagian remaja terus giat secara seksual tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu. Sesetengahnya pula terkena penyakit kelamin yang mungkin akan menyebarkan penyakit itu kepada pasangan seksnya yang lain. Manakala setengah yang lain akan hamil di luar nikah dan mungkin akan menggugurkan kandungannya atau membuang bayinya atau memberikan bayinya kepada orang lain untuk dijaga. Masyarakat pula akan kecoh seketika bila perangkaan-perangkaan mengenai perkara ini dikeluarkan. Kemudian, tanpa tindakan yang berkesan, semuanya akan senyap seperti sedia kala sehinggalah perangkaan baru dikeluarkan pada tahun berikutnya. Dan, putaran ganas itu berterusan.

Jika pendidikan seks boleh memperkasakan kanak-kanak dan remaja untuk mengelakkan diri mereka dari terjebak dalam zina atau menjadi mangsa rogol, apa lagi yang kita tunggu??

0 comments: