Salah satu aspek yang sangat diberi perhatian oleh Islam bagi memastikan supaya perjalanan sistem hidup manusia dapat berlangsung dalam suasana yang sihat dan harmoni ialah kesempurnaan akhlak. Ini adalah kerana akhlak yang baik dan mulia sahaja dapat menjamin kesejahteraan dan kejayaan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran ini.
Secara umumnya akhlak boleh dipecahkan kepada dua pembahagian. Pertama, akhlak Islam, dan yang kedua ialah akhlak falsafah atau lebih dikenali sebagai etika. Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumberkan Wahyu (Quran dan Sunnah), bersifat kudus, mutlak, rabbani dan tetap sepanjang zaman. Sementara akhlak falsafah pula berdasarkan kepada kemampuan pemikiran manusia, yang pastinya tidak kudus, berubah-ubah mengikut zaman dan kepentingan, dan suatu yang tidak mutlak. Oleh yang demikian apabila kita membincangkan mengenai akhlak dan etika yang menjadi asas kepada kejayaan sesuatu kerjaya, maka seringkali dua bahagian akhlak ini sama ada didapati seiring ataupun bertentangan.
Dengan itu, apabila membicarakan antara kerjaya dan akhlak yang dilihat dari perspektif Islam, maka beberapa perkara berikut perlu di ambil kira, iaitu; kesesuaian code of ethics yang berkaitan dengan kerjaya, masalah-masalah yang akan timbul yang berkaitan dengan kejayaan dan kegagalan sesuatu kerjaya, adakah amalan sesuatu kerjaya itu menurut tuntutan akhlak, dan sampai di manakah kebenaran sesuatu kerjaya berkenaan dari penilaian akhlak.
Dari perspektif akhlak, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah tidak membawa bencana atau kerosakan, samada terhadap diri sendiri, masyarakat ataupun alam sekitar. Pekerjaan tersebut hendaklah selaras dengan tujuan akhlak Islam, iaitu untuk melindungi lima kepentingan asas, iaitu; agama, akal, nyawa, maruah dan harta. Di samping itu juga, kerjaya tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan larangan agama seperti menjadi pengedar arak atau dadah, pengurus perjudian, pemakan riba, penglibatan dalam kegiatan pelacuran, menguruskan perniagaan yang diharamkan agama dan sebagainya.
Kerjaya yang selaras dengan syara' apabila dilaksanakan sesuai dengan kaedah-kaedah Islam, iaitu sesuai dengan Al Quran, Hadis, Qias dan Ijma', maka ia dianggap sebagai ibadah umum, dan perlaksanaannya akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Sebaliknya pula, kerjaya yang dianggap tidak syarie dan bercanggah dengan Islam dianggap tidak mempunyai nilai-nilai akhlak dan pelaksanaannya adalah sia-sia.
Daripada pengalaman yang dilalui dan perkembangan kerjaya itu sendiri menunjukkan bahawa ‘etika kerjaya' adalah sesuatu yang perlu diadakan untuk menghadapi gejala keruntuhan akhlak seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan berbagai masalah yang mungkin timbul dalam amalan kerjaya tertentu. Usaha untuk mewujudkan etika ini sudah pasti menambahkan kewibawaan kerjaya berkenaan.
Sungguhpun begitu kod etika ini sebenarnya diasaskan kepada pertimbangan akal semata-mata yang tidak semestinya sesuai dengan nilai akhlak Islam. Oleh itu akan timbul pertembungan antara kod etika buatan manusia dengan nilai akhlak Islam ciptaan Allah s.w.t. Keadaan ini sudah pasti akan menyulitkan pada kebanyakan orang dan menyebabkan terhakisnya kecenderungan orang ramai untuk mematuhi kod etika yang telah disediakan.
Oleh itu, apa yang penting ialah, code of ethics bagi mana-mana kerjaya hendaklah berasaskan kepada konsep bekerja menurut Islam iaitu yang selaras dengan tuntutan syara' dan akhlak Islam, sama ada terhadap individu, masyarakat, majikan dan juga teman sekerja.
Oleh hal yang demikian perspektif Islam terhadap akhlak adalah sangat jauh berbeza dengan falsafah etika yang dicipta oleh manusia. Ini adalah kerana Islam melihat akhlak bukan hanya sekadar pada tingkah laku luaran sahaja tetapi ianya juga harus berakar umbi di hati nurani. Kesedaran dalam melakukan amalan-amalan yang baik tidak berlaku sekali-sekala sahaja tetapi hendaklah menjadi darah daging dan amalan setiap masa. Dalam Islam, akhlak diperkukuhkan dengan peneguhan keimanan kepada Allah s.w.t. serta iltizam yang tinggi terhadap undang-undang agama, di samping menanamkan nilai tauhid yang mendalam dan akhlak yang mulia.
Pendek kata, setiap ciri dan sifat yang membantu seseorang berjaya dalam kerjayanya samada dari pertimbangan syara' atau akal hendaklah dikembangkan sehingga ianya dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan.
Sungguhpun begitu, suasana masyarakat yang kita miliki tidak sedemikian sifatnya. Apa yang kita lihat dan dengar setiap hari ialah penipuan, penyelewengan, pecah amanah, rasuah dan seribu macam keruntuhan akhlak yang meningkat pada kadar yang membimbangkan. Masyarakat terus menerus menanggung kerugian akibat daripada salah laku golongan-golongan professional yang tidak bertanggungjawab.
Sepatutnya, kerjaya yang baik menuntut kepada persekitaran kerja yang juga baik. Persekitaran yang bersih ini memerlukan kepada manusia yang berakhlak dan dididik dengan nilai-nilai akhlak Islam yang murni. Ia juga menuntut pengurusan yang menjauhkan diri dari maksiat sama ada di dalam ataupun di luar pejabat. Dengan adanya penghayatan nilai akhlak yang merata dalam masyarakat di setiap peringkat, maka barulah masalah kecurangan dalam kerjaya dapat dikurangkan.
Inilah sebenarnya tujuan utama Islam membangunkan akhlak mulia di dalam masyarakat yang dapat disimpulkan dalam istilah al falah, iaitu kebahagiaan atau kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Islam membangunkan seluruh potensi fitrah manusia secara berpadu dan berimbangan. Maka dengan kepaduan dan keseimbangan itu diharapkan terbentuklah individu dan masyarakat yang sentiasa menyedari dirinya sebagai hamba dan khalifah Allah yang dapat bertindak secara serentak dalam hal keimanan kepada Allah dan beramal dengan akhlak mulia dalam kerjayanya demi untuk faedah semua makhluk. Dengan kesedaran dan tindakan inilah yang akan membawa manusia ke tahap al hasanah fid dunya dan al hasanah fil akhirah yang menjadi tujuan utama Islam membangunkan ummah. Manusia yang sentiasa beramal dengan akhlak Islam yang sebegini dalam setiap kerjaya yang diceburinya adalah sebenarnya manusia yang insaf tentang kedudukannya sebagai khalifah dan hamba Allah di mukabumi ini. Iaitu manusia insaf yang bertindak atas dasar kebenaran, kebaikan dan kejujuran, baik yang terkandung dalam akidahnya, ibadahnya, syariatnya dan sistem akhlaknya.
Manusia yang ampuh akhlaknya juga akan tegak sebagai benteng yang teguh terhadap sebarang pengaruh yang boleh merosakan diri dan masyarakatnya, dan pada masa yang sama juga berupaya untuk melahirkan ketenteraman di dalam jiwanya dan juga jiwa masyarakatnya. Dari sini akan lahirlah masyarakat yang harmonis dan dinamik dan tahu menentukan hala tuju diri dan masyarakat serta seterusnya meletakkan arus pembangunan negara pada landasan yang betul. Sesungguhnya ini semua hanya akan dapat dibangunkan apabila setiap individu bersungguh-sungguh beramal dengan akhlak Islam dan yakin hanya Islam sahaja yang mampu melahirkan manusia yang cekap dan mahir serta pada masa yang sama mantap pegangan akidahnya, baik amalan syariatnya dan sempurna pula tingkah laku akhlaknya.
Bagi mencapai cita-cita murni ini, maka setiap ciri dan nilai yang dapat membentuk akhlak yang mulia di dalam jiwa dan minda seseorang itu hendaklah dipupuk dan ditanam supaya ia menjadi amalan sama ada di dalam masyarakat mahupun di tempat bekerja. Semoga dengan ini usaha untuk melihat golongan profesional dan masyarakat yang berakhlak yang bebas daripada gejala keruntuhan moral dapat dicapai, dan seterusnya membentuk sebuah negara yang progresif dan dinamik.
0 comments:
Post a Comment