Jom Join Cikgu Shaza


Tajaan Bersama

Tuesday, December 14, 2010

PENGGUNAAN ICT DALAM P&P

Guru diibaratkan sebagai gedung ilmu. Seseorang guru bukan setakat mempunyai ilmu dalam bidangnya sahaja, tetapi perlu bergerak seiriing dengan arus pemodenan. Pelajar zaman ini sentiasa terdedah dengan penggunaan teknologi dan internet. Guru yang sentiasa mendahului pelajarnya akan menyebabkan guru tersebut lebih dihormati.

Selaras dengan itu, penggunaan ICT bukan sahaja boleh diadaptasi dalam matapelajaran Matematik, Sains dan ICT sahaja malah boleh diaplikasi dalam semua subjek di sekolah. Ini kerana penggunaan ICT ini akan membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran sekaligus menarik perhatian pelajar. Pelajar hari ini sudah bosan dengan pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah “chalk and talk” dan akhirnya ramailah pelajar yang akan tidur di dalam kelas.

Penggunaan ICT seperti CD software yang dibekalkan Kementerian Pelajaran,power point, video dan sebagainya banyak membantu kelancaran proses P&P. Bagi menjadikan ia lebih menarik, guru perlu bijak mengintergrasikan penggunaan bahan itu tadi. Sebagai contoh, guru sains tidak boleh terlalu rigid kepada CD yang dibekalkan oleh kementerian, sebaliknya menggunakan selingan dengan video yang berkaitan dengan topik yang diajarkan. Video-video yang berkaitan boleh dimuaturun dari internet seperti youtube akan menjadikan P&P lebih menarik. Guru boleh menggalakkan pelajar menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang subjek yang diajar. Selain itu, guru-guru boleh memberikan laman web yang bersesuaian boleh digunakan oleh pelajar sebagai rujukan.

Bagi memastikan pelajar tidak bosan, guru perlu memastikan pembelajaran diadakan secara dua hala. Jadi, penggunaan makmal komputer, makmal sains dan bilik-bilik khas seperti bilik tayangan perlu digunakan secara menyeluruh oleh semua matapelajaran. Guru-guru sering menghadapi masalah dengan kerosakan peralatan seperti laptop, terpaksa berkongsi menggunakan LCD malah ada LCD yang sudah rosak dan tidak diselenggara. Semua ini menggangu perjalanan proses P&P di sekolah. Perlu diingat, guru hanya mempunyai masa 30 hingga 40 minit untuk satu masa P&P. Masalah-masalah ini hanya melambatkan proses P&P yang telah dirancang. Belum lagi diambil kira masa P&P terpaksa dibatalkan akibat aktiviti-aktiviti sekolah. Bagi memastikan P&P berjalan dengan lancar, peralatan seperti LCD, skrin, dan komputer perlu sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi. Oleh itu, penyelenggaraan peralatan tidak sewajarnya diabaikan.

Kesimpulannya, penggunaan ICT dalam P&P banyak kelebihannya. Ia dapat membantu merancang pengajarannya supaya lebih tersusun dan menarik. Guru yang celik IT akan lebih dihormati oleh pelajar. Jadikan P&P anda lebih menarik dengan penggunaan ICT.

0 comments: