Jom Join Cikgu Shaza


Tajaan Bersama

Monday, March 14, 2011

Binalah Akhlak, Kerjaya dan Keberkatan Hidup anak muridmu dengan seimbang

Islam adalah satu sistem hidup yang meliputi segala aspek dan bidang yang berasaskan kepada prinsip-prinsip dan dasar-dasar yang telah ditentukan oleh Allah menerusi RasulNya. Sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh, maka sudah pasti ia mempunyai disiplin, peraturan dan undang-undang untuk mengawal perjalanan sistem tadi supaya berfungsi dengan baik dan sempurna. Semuanya ini merupakan tali ikatan yang menjalin hubungan yang padu antara anggota masyarakat, sama ada manusia dengan Penciptanya, sesama manusia mau pun manusia dengan alam sekitarnya. Dengan lain perkataan, ia merupakan tali kemasyarakatan yang mengawal dan mengatur gerak laku perbuatan dalam pelbagai kegiatan hidup manusia, supaya segala aktiviti tersebut berlaku ke arah yang membawa kepada kebaikan dan kesempurnaan.

Salah satu aspek yang sangat diberi perhatian oleh Islam bagi memastikan supaya perjalanan sistem hidup manusia dapat berlangsung dalam suasana yang sihat dan harmoni ialah kesempurnaan akhlak. Ini adalah kerana akhlak yang baik dan mulia sahaja dapat menjamin kesejahteraan dan kejayaan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran ini.

Secara umumnya akhlak boleh dipecahkan kepada dua pembahagian. Pertama, akhlak Islam, dan yang kedua ialah akhlak falsafah atau lebih dikenali sebagai etika. Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumberkan Wahyu (Quran dan Sunnah), bersifat kudus, mutlak, rabbani dan tetap sepanjang zaman. Sementara akhlak falsafah pula berdasarkan kepada kemampuan pemikiran manusia, yang pastinya tidak kudus, berubah-ubah mengikut zaman dan kepentingan, dan suatu yang tidak mutlak. Oleh yang demikian apabila kita membincangkan mengenai akhlak dan etika yang menjadi asas kepada kejayaan sesuatu kerjaya, maka seringkali dua bahagian akhlak ini sama ada didapati seiring ataupun bertentangan.

Dengan itu, apabila membicarakan antara kerjaya dan akhlak yang dilihat dari perspektif Islam, maka beberapa perkara berikut perlu di ambil kira, iaitu; kesesuaian code of ethics yang berkaitan dengan kerjaya, masalah-masalah yang akan timbul yang berkaitan dengan kejayaan dan kegagalan sesuatu kerjaya, adakah amalan sesuatu kerjaya itu menurut tuntutan akhlak, dan sampai di manakah kebenaran sesuatu kerjaya berkenaan dari penilaian akhlak.

Dari perspektif akhlak, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah tidak membawa bencana atau kerosakan, samada terhadap diri sendiri, masyarakat ataupun alam sekitar. Pekerjaan tersebut hendaklah selaras dengan tujuan akhlak Islam, iaitu untuk melindungi lima kepentingan asas, iaitu; agama, akal, nyawa, maruah dan harta. Di samping itu juga, kerjaya tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan larangan agama seperti menjadi pengedar arak atau dadah, pengurus perjudian, pemakan riba, penglibatan dalam kegiatan pelacuran, menguruskan perniagaan yang diharamkan agama dan sebagainya.


Pada umumnya, kerjaya yang dibenarkan oleh Islam juga harus benar dan sah dari segi perlaksanaannya. Atau dengan lain perkataan, walaupun pekerjaan itu mungkin benar dan sah pada hakikatnya, tetapi jika dilaksanakan dengan cara yang tidak diizinkan oleh Islam, maka ia tetap haram dan ditegah. Sebagai contoh jelas dalam kehidupan hari ini ialah berleluasanya amalan rasuah. Walaupun pada asasnya sesuatu pekerjaan itu sah dari segi syarak tetapi apabila wujudnya unsur-unsur rasuah maka ianya tetap haram di sisi Islam.

Kerjaya yang selaras dengan syara' apabila dilaksanakan sesuai dengan kaedah-kaedah Islam, iaitu sesuai dengan Al Quran, Hadis, Qias dan Ijma', maka ia dianggap sebagai ibadah umum, dan perlaksanaannya akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Sebaliknya pula, kerjaya yang dianggap tidak syarie dan bercanggah dengan Islam dianggap tidak mempunyai nilai-nilai akhlak dan pelaksanaannya adalah sia-sia.

Daripada pengalaman yang dilalui dan perkembangan kerjaya itu sendiri menunjukkan bahawa ‘etika kerjaya' adalah sesuatu yang perlu diadakan untuk menghadapi gejala keruntuhan akhlak seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan berbagai masalah yang mungkin timbul dalam amalan kerjaya tertentu. Usaha untuk mewujudkan etika ini sudah pasti menambahkan kewibawaan kerjaya berkenaan.

Sungguhpun begitu kod etika ini sebenarnya diasaskan kepada pertimbangan akal semata-mata yang tidak semestinya sesuai dengan nilai akhlak Islam. Oleh itu akan timbul pertembungan antara kod etika buatan manusia dengan nilai akhlak Islam ciptaan Allah s.w.t. Keadaan ini sudah pasti akan menyulitkan pada kebanyakan orang dan menyebabkan terhakisnya kecenderungan orang ramai untuk mematuhi kod etika yang telah disediakan.

Oleh itu, apa yang penting ialah, code of ethics bagi mana-mana kerjaya hendaklah berasaskan kepada konsep bekerja menurut Islam iaitu yang selaras dengan tuntutan syara' dan akhlak Islam, sama ada terhadap individu, masyarakat, majikan dan juga teman sekerja.

Oleh hal yang demikian perspektif Islam terhadap akhlak adalah sangat jauh berbeza dengan falsafah etika yang dicipta oleh manusia. Ini adalah kerana Islam melihat akhlak bukan hanya sekadar pada tingkah laku luaran sahaja tetapi ianya juga harus berakar umbi di hati nurani. Kesedaran dalam melakukan amalan-amalan yang baik tidak berlaku sekali-sekala sahaja tetapi hendaklah menjadi darah daging dan amalan setiap masa. Dalam Islam, akhlak diperkukuhkan dengan peneguhan keimanan kepada Allah s.w.t. serta iltizam yang tinggi terhadap undang-undang agama, di samping menanamkan nilai tauhid yang mendalam dan akhlak yang mulia.

Pendek kata, setiap ciri dan sifat yang membantu seseorang berjaya dalam kerjayanya samada dari pertimbangan syara' atau akal hendaklah dikembangkan sehingga ianya dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan.
Sungguhpun begitu, suasana masyarakat yang kita miliki tidak sedemikian sifatnya. Apa yang kita lihat dan dengar setiap hari ialah penipuan, penyelewengan, pecah amanah, rasuah dan seribu macam keruntuhan akhlak yang meningkat pada kadar yang membimbangkan. Masyarakat terus menerus menanggung kerugian akibat daripada salah laku golongan-golongan professional yang tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya, kerjaya yang baik menuntut kepada persekitaran kerja yang juga baik. Persekitaran yang bersih ini memerlukan kepada manusia yang berakhlak dan dididik dengan nilai-nilai akhlak Islam yang murni. Ia juga menuntut pengurusan yang menjauhkan diri dari maksiat sama ada di dalam ataupun di luar pejabat. Dengan adanya penghayatan nilai akhlak yang merata dalam masyarakat di setiap peringkat, maka barulah masalah kecurangan dalam kerjaya dapat dikurangkan.

Inilah sebenarnya tujuan utama Islam membangunkan akhlak mulia di dalam masyarakat yang dapat disimpulkan dalam istilah al falah, iaitu kebahagiaan atau kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Islam membangunkan seluruh potensi fitrah manusia secara berpadu dan berimbangan. Maka dengan kepaduan dan keseimbangan itu diharapkan terbentuklah individu dan masyarakat yang sentiasa menyedari dirinya sebagai hamba dan khalifah Allah yang dapat bertindak secara serentak dalam hal keimanan kepada Allah dan beramal dengan akhlak mulia dalam kerjayanya demi untuk faedah semua makhluk. Dengan kesedaran dan tindakan inilah yang akan membawa manusia ke tahap al hasanah fid dunya dan al hasanah fil akhirah yang menjadi tujuan utama Islam membangunkan ummah. Manusia yang sentiasa beramal dengan akhlak Islam yang sebegini dalam setiap kerjaya yang diceburinya adalah sebenarnya manusia yang insaf tentang kedudukannya sebagai khalifah dan hamba Allah di mukabumi ini. Iaitu manusia insaf yang bertindak atas dasar kebenaran, kebaikan dan kejujuran, baik yang terkandung dalam akidahnya, ibadahnya, syariatnya dan sistem akhlaknya.



Manusia yang ampuh akhlaknya juga akan tegak sebagai benteng yang teguh terhadap sebarang pengaruh yang boleh merosakan diri dan masyarakatnya, dan pada masa yang sama juga berupaya untuk melahirkan ketenteraman di dalam jiwanya dan juga jiwa masyarakatnya. Dari sini akan lahirlah masyarakat yang harmonis dan dinamik dan tahu menentukan hala tuju diri dan masyarakat serta seterusnya meletakkan arus pembangunan negara pada landasan yang betul. Sesungguhnya ini semua hanya akan dapat dibangunkan apabila setiap individu bersungguh-sungguh beramal dengan akhlak Islam dan yakin hanya Islam sahaja yang mampu melahirkan manusia yang cekap dan mahir serta pada masa yang sama mantap pegangan akidahnya, baik amalan syariatnya dan sempurna pula tingkah laku akhlaknya.

Bagi mencapai cita-cita murni ini, maka setiap ciri dan nilai yang dapat membentuk akhlak yang mulia di dalam jiwa dan minda seseorang itu hendaklah dipupuk dan ditanam supaya ia menjadi amalan sama ada di dalam masyarakat mahupun di tempat bekerja. Semoga dengan ini usaha untuk melihat golongan profesional dan masyarakat yang berakhlak yang bebas daripada gejala keruntuhan moral dapat dicapai, dan seterusnya membentuk sebuah negara yang progresif dan dinamik.
Read more >>

Kesihatan Mental Murid Sekolah

Kita semua telah melangkah masuk ke tahun baru 2011 dengan menyaksikan bermulanya sesi baru persekolahan. Nampak jelas kesibukan di kalangan anak-anak ini dengan melakukan pelbagai persediaan yang amat rapi, namun semua kelihatan gembira dan ceria sekali. Begitu juga, walaupun terhimpit dengan pelbagai urusan kerja, ramai ibubapa yang mengambil cuti bagi menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak mereka. Bagi anak-anak yang memasuki sekolah tadika atau pra sekolah, pengalaman pertama suasana alam persekolahan memberi banyak persoalan dan jawapan tersendiri kepada mereka ini. Begitu juga, bagi para ibubapa yang mempunyai anak pertama memasuki alam persekolahan, pengalaman ini merupakan satu peristiwa yang amat menakjub dan menggembirakan. Hakikatnya, anak-anak tidak mahu ketinggalan dalam mengharungi warna-warna indah dan detik-detik manis alam persekolahan. Betapa kudus dan murninya tanggapan dan impian anak-anak ini kepada sekolah.

Sememangnya alam persekolahan menjadi asas kepada sesiapa sahaja yang ingin meniti kehidupan sebagai golongan orang-orang yang cerdik dan terpelajar. Dalam Islam, menuntut ilmu adalah menjadi satu kewajipan. Ia mesti dilakukan oleh setiap individu muslim bagi meningkatkan keupayaan fungsi akal dan daya pemikiran mereka. Islam mengiktiraf keupayaan individu muslim untuk menuntut ilmu dan menjadi golongan terpelajar bukan bermula dari alam persekolahan dan terhenti selepas menerima segulung ijazah semata-mata, malah ia bermula sejak dari alam kandungan lagi sehinggalah ke liang lahad. Proses pembelajaran itu berlaku sepanjang masa dalam kehidupan setiap individu muslim.


Jika ditinjau, suasana pembelajaran masa kini menyaksikan sistem pendidikan dan pembelajaran bersifat lebih formal lagi. Ia lebih banyak berlaku di sekolah, kolej atau universiti dan perlu mendapatkan kelulusan serta pengiktirafan dari pihak kerajaan. Dalam keadaan sekarang, masyarakat melihat kewibawaan sesuatu institusi pendidikan itu adalah ditentukan oleh tahap pencapaian kelulusan akademik mereka, di samping jaminan terhadap kualiti tinggi kelulusan mana-mana institusi pendidikan terbabit. Pendek kata, matlamat utama atau kemuncak kepada sistem pendidikan kini ialah jaminan terhadap pencapaian kelulusan yang tinggi dan cemerlang yang dikatakan mampu memberi jaminan pekerjaan yang terbaik kepada graduannya.

Berdasarkan kepada senario ini, tidak hairanlah terdapat banyak institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti yang mengambil peluang dan kesempatan serta berlumba-lumba dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik, berkualiti tinggi dan mengakui mampu menjamin masa depan yang cemerlang. Ini sebenarnya satu perkara yang baik dan boleh mewujudkan persaingan secara sihat dalam sektor pendidikan. Namun pada masa yang sama, hakikat yang perlu diterima ialah ia menggesa masyarakat untuk menyediakan sejumlah besar peruntukan bagi mencapai tujuan ini. Di kalangan institusi pendidikan ini, rata-rata menawarkan harga atau yuran yang sememangnya mahal bagi kebanyakan orang. Namun, harga yang terlalu tinggi ini tidak mendatangkan masalah besar bagi golongan yang mampu demi masa depan anak-anak mereka. Apalah sangat yang ada pada harga jika dibandingkan dengan pencapaian akademik yang cemerlang dan terbaik kelak.


Sememangnya keghairahan para ibubapa untuk mendapatkan sekolah-sekolah yang terbaik atau berprestij bagi anak-anak mereka perlu dilihat dari sudut yang positif. Memang tiada salahnya kerana mereka mampu. Manakala bagi yang kurang mampu, mereka masih ada pilihan lain. Namun kemampuan ibubapa dalam memilih mana-mana sekolah bagi pembelajaran anak-anak mereka tidak wajar terhad kepada aspek akademik semata-mata. Ibubapa perlu juga berkeupayaan dan mampu untuk menilai sejauh mana sekolah terbabit berwibawa dalam menyediakan kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang baik, selamat dan sihat, khususnya dalam memelihara baik tahap penjagaan kesihatan mental, bukan sahaja kepada para pelajarnya, tetapi juga kepada para pendidik dan kakitangan sekolah terbabit. Atau paling tidakpun, pastikan sekolah terbabit bukan sekolah yang berisiko menjejaskan kesihatan mental anak-anak kita kelak. Jika situasi ini tidak wujud dalam budaya masyarakat negara ini, bermakna mereka masih memandang rendah terhadap penjagaan kesihatan mental yang baik dan tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimana pemuliharaan kesihatan mental yang baik murid sekolah dapat dijana dalam konteks persekitaran sekolah? Pertama ialah dengan mewujudkan perhubungan sosial yang baik dan disulami kasih sayang tanpa syarat oleh semua warga sekolah termasuklah para guru bagi menghasilkan interaktif sosial yang positif sesama mereka. Perhubungan sosial yang baik dan positif akan merangsang persekitaran sekolah yang sihat dan selamat di samping mampu mengelakkan gejala buli, samseng, vandalisma serta pelbagai gejala salahlaku yang lain. Seterusnya, persekitaran sekolah yang selamat akan meningkatkan rasa keyakinan dan harga diri yang baik di kalangan pelajar yang sudah pasti membawa kebaikan kepada kesejahteraan dan kestabilan mental serta sosial mereka.

Keduanya, pihak sekolah perlu menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana pembelajaran yang mencukupi serta lengkap, selamat dan mesra kepada para pelajar. Pendidikan yang sempurna adalah asas kepada kesihatan mental yang baik. Seterusnya, suasana pembelajaran di sekolah perlulah membina, menyeronokkan dan bukannya menggerunkan. Ketiga, kanak-kanak wajar diajar cara untuk bersaing secara sihat dan membina. Aktiviti di sekolah pastinya tidak lari dari persaingan. Persaingan yang berlaku itu seharusnya bukan semata-mata tertumpu untuk mencari siapa yang bakal memperolehi keputusan terbaik, tetapi lebih kepada mengiktiraf mereka yang cemerlang dan dapat menyempurnakan aktiviti persaingan dengan cara yang sihat, bersungguh-sungguh dan bantu-membantu untuk mencapai matlamat secara bersama. Mereka juga perlu dilatih untuk tidak takut menghadapi kegagalan dan kegagalan itu perlu dilihat dari sudut yang positif, bukan sesuatu yang hina atau memalukan. Namun, pada masa yang sama, usaha memperbaiki keadaan dan kesungguhan mencipta kecemerlangan dari pelbagai sudut kehidupan perlu sentiasa dipupuk di kalangan mereka.
Read more >>

Doakan guru tanda kasih sayang, mari saling mendoakan


Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta


TARIKH 16 Mei tiap tahun penting dan cukup bermakna kepada negara. Hari yang diraikan khusus untuk mengingati segala budi dan jasa guru dalam menggerakkan masyarakat ke arah pembinaan bangsa dan negara. Merujuk istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris. Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata pelajaran.

Pemimpin negara hari ini sememangnya pernah menjadi murid yang menerima tunjuk ajar serta didikan seorang guru. Begitu juga dengan agamawan, ahli korporat, golongan profesional dan pelbagai peringkat masyarakat pernah menerima khidmat sekumpulan guru yang dipertanggungjawabkan menyampaikan ilmu.

Ilmu yang diterima itu berperanan meneropong kehidupan masa depan mereka. Rasulullah bersabda maksudnya: “Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat Abu Daud dan At -Tirmizi).

Sepatutnya, sebagai warga yang rasional dan waras, kita sentiasa dalam apa jua keadaan perlu mengenang kembali erti pengorbanan guru yang pernah mendidik dan membantu membina sahsiah. Mereka yang mengajar sehingga kita berupaya membaca dan menulis serta kelangsungan membuka minda, membajai daya dan menyusur keupayaan akal kita.

Akhirnya menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini. Oleh itu tarikh keramat ini tidak wajar dilupakan sesiapa sama ada seorang pemimpin yang berkuasa atau pun hanya seorang rakyat jelata.

Allah berfirman maksudnya: “Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Majadalah: 1)
Guru sebenarnya melaksanakan tanggungjawab amat besar dalam menyampaikan risalah ilmu kepada manusia keseluruhan. Peranan mereka mengeluarkan masyarakat yang rendah minda dan pengetahuan kepada masyarakat yang berilmu, kreatif dan berinovasi sewajar dihormati serta mendapat penghargaan tinggi dari negara.

Sebagai murid yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan keilmuan yang mereka miliki. Segala pangkat dan kedudukan kita hendaklah dibatasi adat dan nilai yang dituntut agama.

Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya.”

Betapa Saidina Ali seorang yang terkenal dengan alim dan berilmu itu memberi penghormatan dan menganggap orang yang hanya mengajar satu huruf adalah guru dan baginda rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada guru itu. Sewajarnya kita yang memang cetek dan serba kekurangan dalam bidang ilmu pengetahuan serta banyak menerima pengajaran akan lebih memberi sanjungan, penghargaan dan kemuliaan setinggi-tingginya terhadap mereka yang banyak berjasa itu
Imam Ahmad ibn Hambal pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar: “Aku tidak akan duduk kecuali di sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru kita.”

Rasulullah bersabda bermaksud: “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat Abu Hurairah)
Guru adalah sebagai model terhadap orang di bawah pimpinan. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal.

Guru membina sahsiah dan membentuk nilai manusia melalui penjanaan modal insan. Oleh itu, kita sendiri tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru kita. Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dulu dia adalah guru kita, mungkin sekarang dia adalah guru kepada keturunan kita. Tidak ada satu anugerah walau sebesar manapun dapat membalas jasa guru, hatta dibayar dengan segunung harta mahupun sejumlah wang ringgit membalas setiap ilmu yang diterima.

Seiring kemajuan dan pembangunan zaman, derap langkah guru mengembangkan amanah negara dalam mempertahankan nilai budaya menjadi tugas yang semakin utama serta amat mencabar. Tugas ini bukan mudah untuk disempurnakan melainkan dilakukan dengan cekal dan sabar terutama dalam melayani kerenah murid yang mempamerkan pelbagai watak yang amat berbeza dari semasa ke semasa.

Dari generasi ke generasi selepas merdeka, didapati berlaku kesinambungan tugas dan tanggungjawab yang dipikul generasi guru tanpa bantahan dan kerenah yang boleh menghalang matlamat pendidikan. Ertinya mereka melakukan tugas dengan penuh amanah dan integriti.

Kita mesti mengingatkan diri supaya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Jangan sekali-kali akibat kemewahan pembangunan negara yang dikecapi ini, kita dengan mudah memadamkan jasa guru kepada kedudukan kita kini.

Jangan sesekali kita lupa bahawa guru yang meletakkan asas pendidikan yang ulung di negara ini sehingga warganya mampu menggerakkan landasan pembangunan negara kini. Namun tanpa kita sedari, sebahagian daripada mereka telah meninggalkan kita. Meninggalkan jasa dan nama yang sukar dipadamkan.

Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan atas usaha guru yang telah meninggalkan kita. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali pun kita berusaha.

Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka.

Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi meninggalkan kita.


Artkikel dipetik dari Dewan Amal Islam oleh Ustaz Amran
Semoga kita mengenagi guru dan selalu mendoakan mereka..
Read more >>

Thursday, March 10, 2011

Guru perlu ikut cara Rasulullah laksana tanggungjawab mendidik

SEORANG bergelar guru amat dipandang tinggi, malah panggilan 'cikgu' tidak akan lekang di bibir setiap murid yang pernah mewarisi ilmu daripadanya. Hatta, bekas guru yang bertukar profesion pun tetap dipanggil cikgu.

Tidak dinafikan peranan guru amat besar dalam masyarakat. Tanya setiap orang yang berjaya dalam hidupnya, tiada yang cemerlang tanpa didikan seorang guru.

Betapa berpengaruhnya seorang yang bergelar guru, penulis masih ingat sehingga hari ini setiap guru yang pernah mengajar sejak di tadika sehingga sekolah menengah. Cuma masih belum ada kelapangan untuk menziarahi mereka.


Masih terkenang beberapa guru yang sudah meninggal dunia, walaupun sudah tiada, suara mereka masih berulang-ulang memberi ilmu dan nasihat. Sebab itulah ada kala terlupa yang mereka sudah berhijrah ke alam baka. Yang mampu dikirim hanyalah ingatan dan doa.

Hari ini, peranan guru tetap sama. Mereka menyampaikan ilmu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga membimbing akhlak pelajar supaya seiring dengan kebolehan akademik yang menjadi objektif hakiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Cuma, ada segelintir guru yang cuba mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu bapa yang meminta mendidik anak mereka menjadi orang bijak dan terhormat. Laporan murid dicabul, diliwat dan diperkosa oleh guru menyentak banyak hati.

Ada juga guru menjadi pembekal rokok dan dadah kepada pelajar, seperti pernah tersiar di akhbar sedikit masa dulu. Siapa tidak terkilan jika mengetahui guru yang sepatutnya menunjukkan peribadi terbaik terhadap pelajar mencuri peluang melampiaskan nafsu kepada murid cilik.

Sedangkan setiap guru adalah orang yang sedia berilmu dan mereka yang berilmu adalah pewaris para anbiya’. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang berilmu (ulama) itu adalah pewaris nabi-nabi.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)


Sebagai pendidik, guru wajib mempunyai pekerti mulia yang bukan saja menjamin kecemerlangan pendidikan, juga sebagai modal mentarbiahkan insan. Tiada siapa mahu mendengar kata orang yang alpa, taat kepada pelaku maksiat, apatah lagi menadah ilmu daripada seseorang tidak berakhlak.

Kualiti seorang guru sangat penting dalam membina sahsiah pelajar, sebab itu mereka harus ikhlas, berdedikasi, jujur dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul, seperti mana Rasulullah SAW sebagai guru setiap umat Islam kerana Baginda mencukupi ciri contoh ikutan yang baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

Sebagai penggerak utama yang menyumbang kepada kemajuan sesuatu bangsa melalui pendidikan rasmi, guru perlu menjaga nama baik profesion mulia ini. Sikap sebahagian kecil guru menggunakan peluang bersama pelajar untuk berbuat sesuatu tidak baik amatlah dikesali.

Guru harus memaksimumkan ruang yang ada bersama generasi pelapis negara untuk memastikan anak harapan negara dan agama terdidik sempurna dengan ilmu pendidikan formal, juga adab dan nilai murni.

Jangan pula guru yang menjadi orang harapan ibu bapa membantu membina sahsiah anak menjadi ‘pagar yang makan padi’. Bayangkan apa akan berlaku jika guru menjadi ancaman kepada pelajar.

Dengan perubahan masa, profesion guru ada kala bukan pilihan utama, tetapi terpaksa memikulnya kerana tidak berpeluang meneroka kerjaya lain. Kerana itulah bukan semua guru ikhlas menggalas tanggungjawab mendidik.

Walaupun pelbagai kejadian buruk berlaku akibat salah laku guru terhadap pelajar adalah kes terpencil, ia tidak bermakna perkara ini harus dipandang enteng. Ia juga tidak bermakna senario ini akan berakhir dan hilang dengan sendirinya.

Kesedaran perlu dipupuk melalui tarbiah mental dan rohani supaya setiap yang bergelar guru tahu menggalas tanggungjawab sebagai model insan yang meneraju pusat penyebaran ilmu dan amal, tidak seperti kerjaya lain.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
Read more >>

Saturday, March 5, 2011

Teknik menjadi seorang Guru pendengar yang baik.

Lumrah tugas seorang guru adalah mendengar masalah anak-anak muridnya. Makan dengan itu sudah pastilah seorang itu harus mempunyai sifat seorang pendengar yang baik. tidak dapat dinafikan, proses meluahkan masalah dengan menceritakan kepada orang yang dipercayai adalah salah satu kaedah kaunseling yang amat berkesan. Setiap Guru adalah mentor dan kaunselor buat setiap anak murid jagaannya.



Mari kita renungi situasi ini, Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, “patik kurang periksa, tuanku,” ia tidak bermaksud beliau sebagai orang besar tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Ia secara tersirat bermaksud, “aku tak tahulah!”

Jika seorang ayah berkata kepada satu rombongan peminangan, “anak saya baru saja habis belajar, belum pun dapat kerja lagi,” ia bukan bermaksud beliau menyuruh rombongan itu datang semula selepas anaknya mendapat pekerjaan. Ia secara tersirat bermaksud, “aku rasa anak aku tak sesuai kahwin dengan anak engkau.”

Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan pihak lain. Masalah sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap.

Jadi disini cuba kita fikirkan kaedah yang sama untuk kita berbicara dari hati ke hati dengan anak murid kita. Supaya apa yang anak murid itu sampaikan kita dapat mendengar dengan baik dan membalas kata dengan penuh hikmah dan tersurat.Tetapi dengan syarat kata-kata yang kita gunakan dapat difahami sepenuhnya oleh anak murid kita.



Tambahan lagi, seorang guru harus bijak menggunnakan kata-kata yang penuh hikmah agar ia tidak membantutkan keinginan pelajar mengadu kepadanya. Seharusnya pelajar itu harus diberi sokongan dan galakan dengan kata-kata yang memberansangkan. Jangan sesekali melemahkan semangat anak murit itu.

Lantaran dari situasi diatas tadi, mari kita lihat kesannya sekiranya mesej tidak diterima dengan betul, sultan tadi mungkin berkata, “kalau kurang periksa, pergilah periksa sampai habis.”


Jika mesej tidak diterima dengan betul, pihak rombongan meminang tadi mungkin berkata, “bertunanglah dahulu, nanti dah dapat kerja, kahwinlah.”

Bahasa-bahasa tersirat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi seorang “good listener” atau pendengar yang baik, seseorang guru perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Bukan setakat dengar, tetapi renung!

Antara latihan yang paling mujarab adalah dengan merenung ayat-ayat Al-Quran. Firman Allah di dalam surah Yunus ayat 24,

“Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).”

Al-Quran hanya mengandungi 6,666 ayat, tetapi mengandungi petunjuk seluruh sistem kehidupan manusia dan alam. Tidakkah anda berasa pelik apabila Kamus Dewan lebih tebal dari kitab Allah? Ini adalah kerana Al-Quran memuatkan banyak ayat untuk manusia berfikir. Its compact yet complete. Dengan berpandukan hadith-hadith nabi, ayat-ayat yang pendek dan padat dapat dihuraikan menjadi sesuatu yang besar, seterusnya menjadi penyelesaian kepada seribu satu macam masalah manusia dan alam.

Sudah tentu, proses merenung Al-Quran perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berpandukan sumber yang betul. Ia boleh dimulakan dengan membeli sebuah terjemahan bernilai tidak lebih dari RM20.00 di pasaran. Jika bertemu sesuatu yang tidak difahami, rujukkan perlu dilakukan segera.

Kajian juga perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Ia bukan novel cinta yang perlu dihabiskan dalam masa satu malam. Ingat, anda sedang melatih minda untuk berfikir. Memadai dengan beberapa ayat setiap hari untuk difikir dan direnung. Di dalam Tafsir At-Tabari, Imam At-tabari telah merekodkan kenyataan Ibnu Mas’ud, bahawa beliau dan para sabahat dahulu mempelajari tidak lebih dari sepuluh ayat Al-Quran setiap kali, mereka tidak akan melampauinya sebelum betul-betul memahami secara benar maknanya dan mengamalkannya.

Wallahu’alam.

Buat warga pendidik.. Selamat mengkaji dan merenung!
Read more >>

Tuesday, March 1, 2011

Di Saat Aku Mencintaimu – Dadali






Mengapa kau pergi

Mengapa kau pergi
Di saat aku mulai mencintaimu
Berharap engkau jadi kekasih hatiku
Malah kau pergi jauh dari hidupku

Menyendiri lagi
Menyendiri lagi
Di saat kau tinggalkan diriku pergi
Tak pernah ada yang menghiasi hariku
Di saat aku terbangun dari tidurku

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencintai dirimu
Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencinta

Menyendiri lagi
Menyendiri lagi
Di saat kau tinggalkan diriku pergi
Tak pernah ada yang menghiasi hariku
Di saat aku terbangun dari tidurku

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencintai dirimu
Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencinta

Semoga engkau kan mengerti
Tentang perasaan ini
Maaf ku telah terbuai
Akan indahnya cinta
Maaf sungguh ku tak bisa
Untuk kembali padamu
Maaf ku telah terbuai
Akan indahnya cinta

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencintai dirimu
Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencinta

Aku inginkan diri mu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencinta
Read more >>