Jom Join Cikgu Shaza


Tajaan Bersama

Wednesday, March 16, 2011

Adakah Pelajar Lemah Diktiraf Dalam Sistem Pendidikan Negara?

Pendidikan adalah sangat penting. Kenyataan ini dipersetujui oleh semua pihak. Oleh kerana itu, tidak hairanlah pada setiap masa, dunia pendidikan negara mendapat perhatian yang tinggi. Seringkali kita mendengar betapa pelbagai pandangan diutarakan bagi memperbaiki sistem pendidikan negara. Namun, sehingga kini, usaha untuk merealisasikan pandangan-pandangan itu masih terlalu jauh apatah lagi untuk melihat hasilnya.

Rungutan-rungutan yang diterima pula mempunyai pelbagai sifat. Daripada rungutan terhadap sistem pendidikan itu sendiri sehinggalah kepada mutu guru, kandungan pelajaran, kaedah pengajaran, tumpuan pendidikan dan sebagainya. Segala rungutan ini akhirnya amat mengelirukan masyarakat dan menimbulkan ketidakyakinan ibu bapa terhadap dunia pendidikan itu sendiri.

Baru-baru ini kita telah mendengar pelbagai usaha bakal dijalankan untuk memperbaiki mutu pendidikan negara. Paling terbaru adalah usaha untuk menghadkan jumlah matapelajaran yang boleh diambil pelajar. Begitu juga usaha untuk menilai semula matapelajaran teras. Semua ini adalah usaha-usaha yang dialu-alukan. Sememangnya, perhatian yang diberikan kerajaan terhadap meningkatkan keupayaan pelajar amat digalakkan. Namun, penulis tidak begitu pasti adakah usaha-usaha yang dicanangkan ini mengambilkira pelajar lemah di sekolah?

Kenapa pula penulis membangkitkan persoalan ini? Apa yang diperhatikan kini pelbagai usaha penambahbaikan mutu pendidikan lebih banyak menyentuh atau menjurus kepada pelajar yang mempunyai kemampuan belajar yang baik atau dalam bahasa mudahnya, pelajar yang pandai. Namun, langkah-langkah untuk memperbaiki sistem pendidikan untuk pelajar lemah jarang sekali disentuh. Adakah ini bermakna pelajar sebegini tidak diiktiraf dalam dunia pendidikan negara?

Sebelum berbincang lebih jauh, elok juga kita memahami apakah yang dimaksudkan sebagai pelajar yang lemah. Untuk tujuan penulisan ini, penulis ingin merujuk pelajar lemah kepada pelajar yang tidak begitu menyerlah dalam pelajaran atau tidak dapat menguasai pelajaran yang diberikan kepadanya. Secara umumnya, mereka ini menguasai kemahiran asas pembelajaran (3M) iaitu membaca, mengira dan menulis namun mereka adalah pelajar yang jarang sekali memperoleh ‘A' dalam pelajaran. Dengan kata lain, mereka ini seringkali dirujuk sebagai ‘pelajar tidak pandai'.

‘Pelajar tidak pandai' ini disebabkan oleh pelbagai punca. Ada di antara pelajar ini yang sememangnya sudah sedia menghadapi masalah ketakupayaan pembelajaran (learning disabilities). Ada pula yang menghadapi masalah sikap dan tidak ketinggalan juga pelajar yang sememangnya tidak menyukai sesuatu matapelajaran akibat daripada pengalaman pembelajaran yang tidak baik atau tidak menyeronokkan.



Walaupun pelajar lemah ini tidak menyerlah dalam pelajaran dan mungkin, setiap kali peperiksaan hanya mendapat markah ‘cukup makan' namun ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai potensi atau kemampuan untuk berjaya. Namun malangnya, dalam keadaan kini, potensi atau keupayaan pelajar ini tidak dikenalpasti kerana dunia pendidikan kita lebih banyak menumpukan kepada pelajar yang berkeupayaan tinggi. Hasilnya, jarang sekali kita mendengar masalah atau nasib pelajar lemah ini terbela setelah gagal atau hanya mendapat markah minima dalam peperiksaan utama.

Oleh kerana inilah maka penulis menimbulkan persoalan diskriminasi dunia pendidikan terhadap pelajar-pelajar lemah ini. Apakah yang terjadi kepada mereka selepas tidak memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan? Adakah program-program atau perancangan yang khusus dilakukan untuk pelajar ini? Atau mungkinkah mereka hanya dibiarkan menentukan nasib mereka sendiri? Jika ini benar terjadi maka tidak hairanlah pelbagai masalah yang berkait dengan dunia remaja semakin berleluasa kini.

Penulis percaya, dalam dunia pendidikan negara ini, terdapat perancangan tertentu untuk pelajar yang kurang menyerlah dalam pelajaran. Jika tidak masakan kerajaan memperkenalkan sekolah vokasional atau sekolah kemahiran yang lainnya. Namun, berapa ramaikah pelajar lemah yang berpeluang memasuki sekolah begini? Pasti tidak semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk memasuki sekolah kemahiran itu. Apa pula yang terjadi kepada pelajar yang tidak terpilih itu? Ini pastilah menimbulkan persoalan terhadap perlaksanaan dasar-dasar atau perancangan yang tidak menepati sasaran yang dikehendaki.

Pada pandangan penulis, semua anak atau pelajar adalah istimewa. Ini bermakna, tidak kira mereka itu pandai atau tidak, mereka adalah istimewa. Istimewa di sini pastinya ada kaitan dengan keupayaan si anak atau pelajar itu. Keupayaan ini tidak semestinya merujuk kepada keupayaan untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan semata-mata. Ini juga bermakna, kita sebagai golongan dewasa hendaklah bijak mengenalpasti keupayaan anak atau pelajar itu dan seterusnya membangunkan keupayaan tersebut ke tahap tertinggi.

Misalnya, jika pelajar tidak mampu cemerlang dalam pelajaran, maka keupayaan lain yang dimiliki pelajar tersebut mestilah dikenalpasti. Kemungkinan besar pelajar ini pandai dalam lukisan atau musik. Maka, kelebihan itulah yang perlu digilap. Inilah yang berlaku kepada beberapa insan ternama di dunia. Misalnya, siapa yang tidak mengenali Albert Einstein (14 Mac 1879-18 April 1955). Einstein menghadapi masalah disleksia yang menyebabkan beliau mempunyai daya ingatan yang tidak baik dan sentiasa gagal menghafal walaupun satu perkara yang mudah seperti mengingati bulan-bulan dalam satu tahun. Walaupun Einstein mungkin tidak dapat belajar dengan baik namun sumbangan beliau dalam dunia saintifik dan teori sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Begitu juga dengan penulis terkenal Agatha Christie (15 September 1890-12 Januari 1976). Walaupun menghadapi masalah dalam pembelajaran, namun ini tidak menghalang beliau untuk menjadi kreatif dan belajar untuk menulis. Hasilnya, beliau telah berjaya menulis pelbagai buku misteri yang terjual sehingga 4 billion naskah di seluruh dunia. Malah tulisan-tulisan beliau itu telah menjadi sumber ilham ramai penulis muda di seluruh dunia.

Contoh yang disebutkan di atas menunjukkan betapa manusia mempunyai pelbagai keupayaan dan keupayaan itu perlulah digilap. Dalam dunia pendidikan negara, perbezaan keupayaan ini sememangnya diakui wujud namun sejauhmana usaha-usaha untuk mengenalpasti dan memupuk perbezaan keupayaan itu dilaksanakan masih lagi menjadi tanda tanya.

Apa yang sangat diperlukan kini adalah usaha-usaha campurtangan awal (early intervention) dalam pengenalpastian keupayaan pelajar. Ini haruslah dilakukan seawal mungkin dan seterusnya kaedah pendidikan yang menjurus kepada keupayaan itu mestilah dilaksanakan dengan segera. Jika ini dapat dilakukan maka keupayaan semua pelajar dapat digembeleng dan diarahkan kepada jalan yang baik. Seterusnya ini membuktikan betapa kita mengiktiraf ‘keistimewaan' yang dimiliki setiap pelajar.

0 comments: