Jom Join Cikgu Shaza


Tajaan Bersama

Monday, March 14, 2011

Kesihatan Mental Murid Sekolah

Kita semua telah melangkah masuk ke tahun baru 2011 dengan menyaksikan bermulanya sesi baru persekolahan. Nampak jelas kesibukan di kalangan anak-anak ini dengan melakukan pelbagai persediaan yang amat rapi, namun semua kelihatan gembira dan ceria sekali. Begitu juga, walaupun terhimpit dengan pelbagai urusan kerja, ramai ibubapa yang mengambil cuti bagi menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak mereka. Bagi anak-anak yang memasuki sekolah tadika atau pra sekolah, pengalaman pertama suasana alam persekolahan memberi banyak persoalan dan jawapan tersendiri kepada mereka ini. Begitu juga, bagi para ibubapa yang mempunyai anak pertama memasuki alam persekolahan, pengalaman ini merupakan satu peristiwa yang amat menakjub dan menggembirakan. Hakikatnya, anak-anak tidak mahu ketinggalan dalam mengharungi warna-warna indah dan detik-detik manis alam persekolahan. Betapa kudus dan murninya tanggapan dan impian anak-anak ini kepada sekolah.

Sememangnya alam persekolahan menjadi asas kepada sesiapa sahaja yang ingin meniti kehidupan sebagai golongan orang-orang yang cerdik dan terpelajar. Dalam Islam, menuntut ilmu adalah menjadi satu kewajipan. Ia mesti dilakukan oleh setiap individu muslim bagi meningkatkan keupayaan fungsi akal dan daya pemikiran mereka. Islam mengiktiraf keupayaan individu muslim untuk menuntut ilmu dan menjadi golongan terpelajar bukan bermula dari alam persekolahan dan terhenti selepas menerima segulung ijazah semata-mata, malah ia bermula sejak dari alam kandungan lagi sehinggalah ke liang lahad. Proses pembelajaran itu berlaku sepanjang masa dalam kehidupan setiap individu muslim.


Jika ditinjau, suasana pembelajaran masa kini menyaksikan sistem pendidikan dan pembelajaran bersifat lebih formal lagi. Ia lebih banyak berlaku di sekolah, kolej atau universiti dan perlu mendapatkan kelulusan serta pengiktirafan dari pihak kerajaan. Dalam keadaan sekarang, masyarakat melihat kewibawaan sesuatu institusi pendidikan itu adalah ditentukan oleh tahap pencapaian kelulusan akademik mereka, di samping jaminan terhadap kualiti tinggi kelulusan mana-mana institusi pendidikan terbabit. Pendek kata, matlamat utama atau kemuncak kepada sistem pendidikan kini ialah jaminan terhadap pencapaian kelulusan yang tinggi dan cemerlang yang dikatakan mampu memberi jaminan pekerjaan yang terbaik kepada graduannya.

Berdasarkan kepada senario ini, tidak hairanlah terdapat banyak institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti yang mengambil peluang dan kesempatan serta berlumba-lumba dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik, berkualiti tinggi dan mengakui mampu menjamin masa depan yang cemerlang. Ini sebenarnya satu perkara yang baik dan boleh mewujudkan persaingan secara sihat dalam sektor pendidikan. Namun pada masa yang sama, hakikat yang perlu diterima ialah ia menggesa masyarakat untuk menyediakan sejumlah besar peruntukan bagi mencapai tujuan ini. Di kalangan institusi pendidikan ini, rata-rata menawarkan harga atau yuran yang sememangnya mahal bagi kebanyakan orang. Namun, harga yang terlalu tinggi ini tidak mendatangkan masalah besar bagi golongan yang mampu demi masa depan anak-anak mereka. Apalah sangat yang ada pada harga jika dibandingkan dengan pencapaian akademik yang cemerlang dan terbaik kelak.


Sememangnya keghairahan para ibubapa untuk mendapatkan sekolah-sekolah yang terbaik atau berprestij bagi anak-anak mereka perlu dilihat dari sudut yang positif. Memang tiada salahnya kerana mereka mampu. Manakala bagi yang kurang mampu, mereka masih ada pilihan lain. Namun kemampuan ibubapa dalam memilih mana-mana sekolah bagi pembelajaran anak-anak mereka tidak wajar terhad kepada aspek akademik semata-mata. Ibubapa perlu juga berkeupayaan dan mampu untuk menilai sejauh mana sekolah terbabit berwibawa dalam menyediakan kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang baik, selamat dan sihat, khususnya dalam memelihara baik tahap penjagaan kesihatan mental, bukan sahaja kepada para pelajarnya, tetapi juga kepada para pendidik dan kakitangan sekolah terbabit. Atau paling tidakpun, pastikan sekolah terbabit bukan sekolah yang berisiko menjejaskan kesihatan mental anak-anak kita kelak. Jika situasi ini tidak wujud dalam budaya masyarakat negara ini, bermakna mereka masih memandang rendah terhadap penjagaan kesihatan mental yang baik dan tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimana pemuliharaan kesihatan mental yang baik murid sekolah dapat dijana dalam konteks persekitaran sekolah? Pertama ialah dengan mewujudkan perhubungan sosial yang baik dan disulami kasih sayang tanpa syarat oleh semua warga sekolah termasuklah para guru bagi menghasilkan interaktif sosial yang positif sesama mereka. Perhubungan sosial yang baik dan positif akan merangsang persekitaran sekolah yang sihat dan selamat di samping mampu mengelakkan gejala buli, samseng, vandalisma serta pelbagai gejala salahlaku yang lain. Seterusnya, persekitaran sekolah yang selamat akan meningkatkan rasa keyakinan dan harga diri yang baik di kalangan pelajar yang sudah pasti membawa kebaikan kepada kesejahteraan dan kestabilan mental serta sosial mereka.

Keduanya, pihak sekolah perlu menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana pembelajaran yang mencukupi serta lengkap, selamat dan mesra kepada para pelajar. Pendidikan yang sempurna adalah asas kepada kesihatan mental yang baik. Seterusnya, suasana pembelajaran di sekolah perlulah membina, menyeronokkan dan bukannya menggerunkan. Ketiga, kanak-kanak wajar diajar cara untuk bersaing secara sihat dan membina. Aktiviti di sekolah pastinya tidak lari dari persaingan. Persaingan yang berlaku itu seharusnya bukan semata-mata tertumpu untuk mencari siapa yang bakal memperolehi keputusan terbaik, tetapi lebih kepada mengiktiraf mereka yang cemerlang dan dapat menyempurnakan aktiviti persaingan dengan cara yang sihat, bersungguh-sungguh dan bantu-membantu untuk mencapai matlamat secara bersama. Mereka juga perlu dilatih untuk tidak takut menghadapi kegagalan dan kegagalan itu perlu dilihat dari sudut yang positif, bukan sesuatu yang hina atau memalukan. Namun, pada masa yang sama, usaha memperbaiki keadaan dan kesungguhan mencipta kecemerlangan dari pelbagai sudut kehidupan perlu sentiasa dipupuk di kalangan mereka.

0 comments: